Sunday, February 28, 2010

Air Mata Rasulullah S.A.W.

Ramai sekali orang yang menangis, baik lelaki atau wanita. Tetapi apa manfaat tangisan mereka dan untuk siapa mereka manangis? Nabi kita menangis, meskipun
dunia boleh baginda kuasai jika mahu dan meskipun syurga ada di depannya, bahkan baginda berada dalam kedudukan yang tertinggi.
Ya, baginda menangis, tetapi tangisannya adalah ibadah. Baginda menangis di kala sedang bermunajat kepada TuhanNya di dalam solat dan pada ketika membaca Al-Quran.
Semua itu tidak lain disebabkan oleh kelembutan hati, kesolehan perilaku dan pengtahuan baginda yang sangat mendalam mengenai keagungan zat Allah Yang Maha Agung dan Maha Suci.
Diriwayatkan daripada Mutharrif, dia adalah anak lelaki Abdullah bin Asy-Syakir,daripada ayahnya, dia berkata, "aku pergi kepada Rasulullah S.A.W. dan baginda sedang solat, pada kerongkong baginda ada suara serak seperti sisiran sikat disebabkan tangisan." (Hadis Riwayat Abu Daud).
Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud, dia mengatakan "Rasulullah S.A.W. bersabda kepada ku, 'bacalah Al-Quran untukku!' Aku berkata, 'wahai Rasulullah, aku membacakan Al-Quran untukmu, sedangkan ia diturunkan padamu?' Baginda bersabda, 'aku suka mendengarnya daripada orang lain.' Maka, aku membacakan surah An-Nisa' sehingga ketika aku sampai pada ayat 41.

"Maksudnya: Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?"
(Surah An-Nisa' : 41)

Aku melihat air mata berlinang dari kedua mata Rasulullah S.A.W. "

(Hadis Riwayat Bikhari)




Sumber : Buku bertajuk ~ Sejarah Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.